BERNAMA

SEMUA 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja dibebaskan hari ini selepas beberapa perundingan dibuat dengan Kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat Perdana Menteri Kemboja Hun Sen selepas mendapati semua tahanan itu ditipu sindiket ejen pekerjaan.

“Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, mereka sudah melihat dan meneliti semua perkara bahawa tahanan dari Malaysia ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan.

“Kita juga melihat daripada segi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,” katanya hari ini.

Wisma Putra Khamis lalu mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Disember tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Dr Mustapha berkata, selain Wisma Putra, beberapa pemimpin dan wakil rakyat dari Sarawak turut berada di Kemboja beberapa hari lalu untuk membincangkan cara penyelesaian bagi membebaskan tahanan terbabit.

Dalam pada itu, ibu kepada salah seorang tahanan Zunita Sedini sebelum ini berkata, anaknya Yusuf Islam bersama 46 lagi rakyat Malaysia dijanjikan peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan sehingga US$1,500 (lebih RM6,000) namun semuanya hanya sandiwara apabila setibanya di Kemboja mereka tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan.

Berita berkaitan:

[UPDATE] 'Rayu minta dibebaskan segera' [METROTV]

'Rindu 63 hari bakal terubat' [METROTV]

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 6:11 PM