GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Suzianah Jiffar


JABATAN Kesihatan Sabah setakat ini tidak mengesan sebarang kes serangan strok haba berikutan cuaca panas di Sabah hampir sebulan lalu, namun meminta orang ramai terus mengambil langkah berjaga-jaga.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, sepanjang cuaca panas orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa minum air kosong dan memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan.

“Walaupun tiada kes strok haba dikesan, tetapi orang ramai perlu sentiasa berwaspada dengan mengikuti tips kekal sihat musim panas dikeluarkan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Antara tips kekal sihat adalah minum air kosong tanpa mengira tahap aktiviti fizikal dan lebihkan masa berada dalam rumah serta hadkan aktiviti luar.

Selain itu, kurangkan minum minuman berkafein, alkohol dan bergula, menggunakan kipas atau pendingin hawa untuk menyejukkan badan; pakai pakaian yang ringan; berwarna terang serta longgar dan tidak duduk dalam kenderaan bertutup tanpa pendingin hawa.

Sebelum ini Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca panas dan kering melanda Sabah ketika ini akan berterusan sehingga akhir April.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 12:26 PM