ANGGOTA keselamatan bertugas dalam keadaan cuaca panas. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANGGOTA keselamatan bertugas dalam keadaan cuaca panas. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan dua kes kelesuan haba akibat cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini antara tempoh 1 Januari hingga 12 Mac lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Asits Sanna, berkata kedua-dua kes itu dilaporkan di Daerah Beaufort pada Minggu Epidemiologi Empat dan 11.

Katanya tiada kes kekejangan haba dan strok haba atau kes patukan ular dilaporkan sepanjang pemantauan cuaca panas di Sabah sehingga semalam.

"Kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia 50 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba ketika melakukan kerja menebang pokok.

"Pesakit mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan sebuah hospital pada 22 Januari dan dibenarkan pulang pada hari sama.

"Kes kedua dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 11, membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba ketika mengikuti pertandingan bola sepak.

"Pelajar terbabit mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan pada 9 Mac lalu dan dibenarkan pulang pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berikutan cuaca panas yang diramal melebihi 35 darjah Celsius di Sabah dalam tempoh tujuh hari akan datang, JKNS mengambil langkah meningkatkan pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas.

Katanya, JKNS juga akan memastikan kelengkapan rawatan dan bekalan ubat mencukupi di setiap fasiliti kesihatan selain menjalankan aktiviti promosi serta pendidikan kesihatan berkaitan panduan penjagaan kesihatan ketika cuaca panas kepada masyarakat.

"Sehubungan itu, JKNS mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan, antaranya minum air kosong yang mencukupi serta mengurangkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula.

"Bagi umat Islam yang berpuasa sepanjang Ramadan disaran meminum air secukupnya iaitu lapan gelas air sehari di antara waktu berbuka puasa sehingga waktu sahur.

"Selain itu, orang ramai juga disaran menggunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan, memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba matahari sekiranya berada di luar bangunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 5:44 PM