Mangsa, Eu, (gambar kecil) terperosok di bawah lori selepas motosikal ditungganginya disereta lori simen di Kampung Koh, Sitiawan. FOTO Ihsan Bomba
Mangsa, Eu, (gambar kecil) terperosok di bawah lori selepas motosikal ditungganginya disereta lori simen di Kampung Koh, Sitiawan. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG wanita maut akibat digilis lori simen di Kampung Koh di Sitiawan, hari ini.

Dalam kejadian 12.40 tengah hari itu, Eu Hea Mee, 47, yang menunggang motosikal Honda EX5 mati di tempat kejadian.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila mangsa yang dipercayai keluar dari simpang di jalan berkenaan terjatuh dari motosikal ditungganginya.

Lori simen yang kebetulan melalui laluan itu dari arah Lekir menghala ke Sitiawan gagal mengelak sebelum merempuh wanita terbabit.

Kemalangan menyebabkan mangsa terseret kira-kira 10 hingga 15 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Husni Sawal Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.45 tengah hari.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati wanita itu bersama motosikalnya terperosok di bawah lori berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa. Kami mengeluarkan motosikal dahulu sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 1.31 tengah hari.

“Dalam pada itu, pemandu lori simen yang juga lelaki berusia 53 tahun yang juga tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:06 PM