Muhamad Izzat Nasuruden


Teluk Intan: Tiga beranak terselamat dalam kemalangan di Jalan Teluk Intan menghala Sitiawan, dekat Seberang Perak, di sini, selepas lori muatan ikan dinaiki terbabas dan terbalik, hari ini.

Pemandu, Halim Sabran, 40, berkata, dia membawa muatan ikan kira-kira lima tan dari Sungai Besar, Selangor, ke Pulau Pinang.

Menurutnya, ketika tiba di kawasan simpang empat di tempat kejadian, lorinya tergelincir dari jalan raya dan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

"Kemalangan itu menyebabkan muatan ikan bertaburan di atas jalan raya dan penduduk berhampiran mula mengerumuni lokasi kejadian.

"Saya bersama isteri serta anak keluar dari lori melalui cermin tingkap yang pecah.

“Saya mendapati anak saya luka di lutut manakala saya dan isteri pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, penduduk berhampiran yang datang ke lokasi kejadian kemudian mengutip ikan yang berselerak di atas jalan dan dia membenarkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 8:19 PM