ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan lori dua tan muatan ais di Jalan Lekir-Sitiawan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa berusia 30-an meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.04 pagi sebelum lima anggota yang diketuai Pegawai Bomba Mustafa Ismail bersama satu jentera ke tempat kejadian.

Menurutnya, kereta dipandu mangsa dari arah Teluk Intan menghala Sitiawan dipercayai bertembung dengan lori dipandu lelaki berusia 50 tahun dari arah bertentangan.

"Bomba mengambil masa 20 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Pemandu lori berkenaan hanya mengalami cedera ringan dan operasi tamat pada 7.25 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 10:44 AM