KEADAAN lori simen terbabit. FOTO Recqueal Raimi
KEADAAN lori simen terbabit. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

TIGA buruh binaan termasuk seorang wanita maut, manakala tiga lagi parah dipercayai ditimpa tangki pembancuh simen berhampiran Kampung Sinopukan di Jalan Pahu, Kiulu di Tuaran, tengah hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila sebuah lori simen dikatakan hilang kawalan di laluan menuruni bukit sebelum terbalik dan bergolek sejauh 70 meter lalu menghempap kesemua mangsa.

Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada semua mangsa berada di tepi jalan atau menaiki lori simen berkenaan ketika kejadian kira-kira 1 tengah hari itu.

Tiga mangsa yang maut ialah pekerja warga asing, manakala tiga lagi yang cedera parah belum dikenal pasti identiti mereka.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati lori simen dipandu lelaki warga tempatan hilang kawalan ketika menuruni bukit lalu merempuh tebing bukit.

“Akibat rempuhan itu, lori itu kemudian bergolek sejauh 70 meter menyebabkan dua mangsa iaitu lelaki dan wanita maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi lelaki meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuaran.

“Polis masih menyiasat kronologi kejadian memandangkan sebaik tiba di lokasi nahas, dua mayat ditemui dan keadaan mangsa yang parah perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.15 tengah hari lalu sepasukan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, terdapat dua mangsa yang disahkan meninggal dunia dan pasukan bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengangkat mayat sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:20 PM