FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


BEKAS guru kelas tambahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan menipu seorang kontraktor dengan menawarkan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk dengan bayaran RM85,000, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, Tengku Maizatul Akmar Tengku Abdullah, 37, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh didakwa menipu dengan memperdayakan dan mendorong mangsa menyerahkan wang RM85,000 kepadanya.

Mangsa didakwa mendepositkan wang sebanyak RM55,000 ke dalam akaun tertuduh serta baki RM30,000 dibayar secara tunai sedangkan ia tidak wujud.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bank CIMB Cawangan Taman Seri Gombak, dekat sini pada jam 2.42 petang, 6 Februari 2013.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Nik Mohamad Fadli Nik Azlan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 8:26 PM