Murni Wan Omar


SEORANG wanita, Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebentar tadi atas pertuduhan menyalahgunakan wang lebih RM27,000 milik isteri pengarah filem Aziz M Osman dan seorang lagi mangsa, pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Nor Farah Farhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta milik Puteri Salbainun Lokman, 29, berjumlah RM11,680 bagi percutian ke Korea Selatan pada 23 hingga 27 Disember 2017 apabila tertuduh gagal memberikan pakej itu selepas mangsa membuat bayaran.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No 1 Jalan 2 Casabellah Off Jalan Teknologi 3/11 Kota Damansara di sini, antara 5 hingga 14 Disember 2017.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Sarida Shaari, 56, membabitkan wang berjumlah RM15,500 untuk pembayaran ke Morocco dan Sepanyol bagi pembelian pakej percutian 10 hingga 21 Oktober 2017.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bank CIMB Kelana Jaya, di sini, pada 19 September 2017.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Nor Farah Farhan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat, serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, suami tertuduh yang hadir memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah atas alasan isterinya tidak mempunyai pendapatan tetap serta mempunyai hutang yang banyak.

Selain itu, dia turut memberitahu mahkamah bahawa anak kedua mereka kini sedang menjalani rawatan di Pusat Perbuatan Universiti Malaya (PPUM) kerana menghidap penyakit leukemia.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 atas kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan lebih 20 individu termasuk beberapa artis seperti Aziz dan Den Wahab membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang menipu mereka lebih RM90,000 dengan menawarkan pakej pelancongan ke Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 3:50 PM