PEREKA koleksi Jubah Pahlawan, Ahmad Syubaili Aziz, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memperdayakan dua jururawat hospital berhubung perniagaan nasi lemak membabitkan kerugian RM84,000.

Murni Wan Omar

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman.

Ahmad Syubaili didakwa memperdayakan seorang wanita berusia 24 tahun dalam urusan sebagai rakan kongsi perniagaan sehingga mendorong mangsa memberikan wang tunai RM50,000 kepadanya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Bank Rakyat Jalan Ipoh, di sini awal tahun 2015.

Tertuduh juga didakwa memperdayakan seorang lagi wanita berusia 24 tahun dengan menawarkan perniagaan nasi lemak sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM34,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Bank Rakyat Dataran Taman Shamelin, Cheras, di sini pada 2 petang, 29 Mei 2015.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Ahmad Syubaili didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norelynna Hanim Abd Halim manakala tertuduh diwakili peguam P Sutheswary.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Mahkamah juga menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:55 PM