KEPALA BATAS 06 FEBRUARI 2019. Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah kereta rosak yang berhenti dibahu jalan di Lebuhraya Utara Selatan KM124.8 arah utara. NSTP/IHSAN PDRM
KEPALA BATAS 06 FEBRUARI 2019. Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah kereta rosak yang berhenti dibahu jalan di Lebuhraya Utara Selatan KM124.8 arah utara. NSTP/IHSAN PDRM
Shamsul Munir Safini

SEORANG lelaki berusia 24 tahun maut sejurus motosikal ditunggangnya merempuh belakang kereta rosak di lorong kecemasan di sini jam 12 tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta model Mercedes Benz mengalami kerosakan sebelum berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 124.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kereta dipandu seorang lelaki berusia 45 berkenaan mengalami kerosakan enjin sebelum berhenti di lorong kecemasan.

“Pemandu kereta kemudian membuka but kereta dan memasang isyarat segi tiga kecemasan.

“Tidak lama selepas itu, motosikal dinaiki mangsa datang dari belakang dan tidak dapat mengelak sebelum melanggar bahagian kanan belakang kereta,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera patah kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya sebelum disahkan meninggal dunia jam 5 petang semalam.

Noorzainy berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirulzamir Md Isa dan beralamat di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 4:57 PM