Nur Izzati Mohamad


SEORANG wanita maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah van rosak di Kilometer 139.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), pagi hari ini.

Dalam kejadian 7.34 pagi itu, Nur Azean Shamsudin, 39, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Seberang Jaya ke Juru, tidak sempat mengelak dan merempuh sebuah van yang tiba-tiba berhenti di lorong kecemasan.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk dibedah siasat.

"Sementara pemandu van berusia 52 tahun dari Ayer Itam, Georgetown tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 4:41 PM