ANGGOTA trafik IPD SPU mengeluarkan saman pada pemilik kereta yang meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR). FOTO ihsan polis.
ANGGOTA trafik IPD SPU mengeluarkan saman pada pemilik kereta yang meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR). FOTO ihsan polis.
Shamsul Munir Safini


BUKAN sahaja memalukan, malah tindakan kekasih berpelukan seperti belangkas di tepi kereta di lorong kecemasan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Butterworth mengundang bahaya kepada pengguna lebuh raya lain.

Mereka dikesan meletakkan kereta pada jarak sepanjang dua kilometer di lorong kecemasan lebuh raya itu yang terletak bersebelahan pantai menghadap Georgetown sebelum bercumbu sambil menghayati pemandangan di situ.

Tinjauan Harian Metro mendapati mereka tidak mengendahkan bahaya mungkin berlaku, malah leka berpelukan dan bermesra di luar kereta yang diparkir di lorong kecemasan.

Namun, tindakan degil mereka yang tidak mengendahkan peraturan itu mengundang padah selepas dikompaun Bahagian Penguatkuasa Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), malam tadi.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam operasi bermula 10 malam sehingga lewat tengah malam itu, pihaknya mengeluarkan saman keseluruhan berjumlah RM4,800 kepada 16 pemilik kenderaan yang meletakkan kereta di lorong kecemasan di lebuh raya itu.

“Mereka didapati melakukan kesalahan halangan di atas lorong kecemasan di situ dan tindakan penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan tanpa sebarang kompromi.

“Polis mendapati sejak akhir-akhir ini pengguna jalan raya tanpa segan silu berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di situ walaupun terdapat papan tanda amaran dilarang berhenti di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan denda sebanyak RM300.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 5:44 PM