KEADAAN banjir di Townsville, Queensland, Australia,
KEADAAN banjir di Townsville, Queensland, Australia,
Hairulazim Mahmud


SERAMAI 12 penuntut Malaysia di Universiti James Cook di Townsville dilaporkan selamat berikutan bencana banjir di utara wilayah Queensland, Australia itu.

Menurut Pejabat Education Malaysia Australia (EMA), jumlah rakyat Malaysia di kawasan terbabit antara 40 hingga 50 orang dan mereka kini terjejas namun selamat serta dinasihatkan menghubungi Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) sekiranya memerlukan bantuan ke pusat pemindahan banjir.

“Susulan kejadian ini, satu kumpulan WhatsApp kecemasan antara Pejabat Konsulat Malaysia Sydney (EM Australia, MARA Australia) hasil inisiatif rakyat Malaysia yang menetap di Townsville telah diwujudkan bagi memantau keadaan dan mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir,” menurut kenyataan EMA di laman Facebook rasminya hari ini.

Kelmarin, pihak berkuasa Townsville, Queensland memberi amaran penduduk berhubung kemungkinan pintu air di Empangan River Ross yang akan terbuka secara automatik, sekiranya paras air melebihi had maksimum susulan jumlah air hujan yang berterusan.

Kemudian kira-kira jam 8 malam waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia), pintu air empangan sudah terbuka dan kawasan-kawasan yang terjejas adalah di Rosslea, Hermit Park, Railway Estate, Townsville City, Oonoonba, Idalia, Cluden, West End, Rowes Bay, Garbutt, Aitkenvale, Cranbrook, Currajong, Mysterton, Pimlico, Mundingburra, Douglas, Annandale, Kirwan dan Thuringowa Central dan South Townsville.

Berikutan itu juga Lapangan Terbang Townsville juga sudah ditutup.

Menurut kenyataan EMA itu juga, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra turut menasihatkan semua rakyat Malaysia terbabit sekiranya memerlukan bantuan konsular berhubung dengan pegawai terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 7:12 PM