Mohd Arif (berdiri) bersama Mohd Afiq membantu menukar tayar kereta suami isteri. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Arif (berdiri) bersama Mohd Afiq membantu menukar tayar kereta suami isteri. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


WALAUPUN keletihan mengawal lalu lintas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, namun dua anggota polis mengambil tanggungjawab membantu menukar tayar kereta suami isteri yang pancit malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Koperal Mohd Arif Murad dan Konstabel Mohd Afiq Mohd Ariff yang didatangi suami isteri itu meminta bantuan untuk menukar tayar kereta sebelah kiri Perodua Alza yang pancit.

Mohd Afiq berkata, lelaki berusia 30-an itu dan isterinya yang berasal dari Holand datang ke ICQS untuk memperbaharui visa wanita terbabit sebelum meletakkan kereta mereka di hadapan Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, sebaik selesai urusan mereka pergi semula ke kereta untuk pulang ke Pulau Pinang namun mendapati tayar kereta pancit.

“Mereka kemudian datang bertemu kami dan meminta bantuan sebelum saya dan Koperal Mohd Arif ke sana untuk membantu menukar tayar kereta itu.

“Kami mengambil masa sejam untuk menukar tayar simpanan kerana perlu melakukan dua kali penukaran tayar apabila tayar belakang perlu diganti ke depan sebelum tayar simpanan dipasang di belakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pasangan itu mahu pulang segera ke rumah di Pulau Pinang kerana anak mereka berusia dua bulan dijaga ahli keluarga namun pihaknya sempat menasihati supaya tidak memandu terlalu laju kerana menggunakan tayar simpanan.

Sementara itu, Mohd Afiq berkata, tiada lain yang diharapkan tetapi dengan cara sebegini mudah-mudahan dapat mengeratkan lagi silaturahim antara polis dan masyarakat.

“Hari ini kita permudahkan urusan orang, mudah-mudahan Allah permudahkan urusan kita kembali,” katanya dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ICQS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 1:07 PM