P Waytha Moorthy (dua kanan) mengucapkan tahniah kepada Batin Kampung Orang Asli Pucur, Semanggar Ahmad (kanan) selepas majlis perasmian Balai Adat Kampung Orang Asli Pucur. FOTO Adnan Ibrahim
P Waytha Moorthy (dua kanan) mengucapkan tahniah kepada Batin Kampung Orang Asli Pucur, Semanggar Ahmad (kanan) selepas majlis perasmian Balai Adat Kampung Orang Asli Pucur. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

CADANGAN Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung isu kuil Kuil Sri Maha Mariamman memberi penyelesaian 'menang-menang' kepada pihak berkepentingan dan seterusnya menyelesaikan masalah tuntutan tapak tanah terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), P Waytha Moorthy, berkata, beliau juga menyokong sepenuhnya cadangan Tommy untuk melantik pemegang amanah mentadbir kuil berkenaan.

Katanya, tindakan itu juga dilihat bertepatan kerana mampu menyelesaikan isu lot tanah di kawasan kuil terbabit yang tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan sewajarnya sehingga mampu mencetuskan pelbagai masalah lain termasuk menggugat keamanan serta perpaduan negara.

"Bagaimanapun masih belum ada lagi individu yang dikenal pasti untuk bertanggungjawab sebagai pemegang amanah itu namun saya yakin orang yang terpilih itu nanti akan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Sehubungan itu orang ramai harus bertenang dan tidak terus menjadikan isu ini sebagai alasan untuk merosakkan perpaduan kerana apa yang berlaku tidak membabitkan krisis antara kaum," katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Adat Kampung Orang Asli Pucur, Kahang, Kluang, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Peguam Negara bertarikh 14 Disember berhubung isu kuil terbabit.

Tommy dalam kenyataannya berkata, tertakluk kepada terma dipersetujui, One City Development Sdn Bhd akan memindah hak milik plot tanah seluas 0.4 hektar terletaknya Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya kepada pemegang amanah yang akan diuruskan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau dilaporkan berkata pada awal minggu ini terdapat pertemuan dengan peguam daripada pelbagai pihak yang terbabit dalam kekecohan baru-baru ini di kuil itu dengan pihaknya dan beliau turut menyokong beberapa cadangan penyelesaian yang dikemukakan di dalam pertemuan itu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Waytha Moorthy berkata, RM107 juta diperuntukkan untuk membangunkan prasarana dan keperluan utiliti masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Katanya, menerusi tinjauan, banyak lagi keperluan masyarakat Orang Asli yang perlu ditambah baik bagi memastikan mereka mempunyai kemudahan asas untuk menjalani kehidupan seharian.

"Perkara utama yang perlu dilaksanakan adalah menyelesaikan masalah tuntutan Tanah Adat yang berlarutan sejak sekian lama dan untuk menanganinya kerajaan negeri diminta terbabit secara langsung membincangkan perkara ini.

Waytha Moorthy berkata, bagi keperluan utiliti seperti bekalan air bersih dan elektrik, ia akan diberikan perhatian sepenuhnya oleh kerajaan pusat.

  • Lagi berita berkaitan Isu Kuil Maha Mariamman
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 7:48 PM