Ruwaida Md Zain dan Faris Fuad


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy memberi jaminan kerajaan tidak akan merobohkan Kuil Sri Maha Mariamman dekat USJ 25, Subang Jaya, sehingga mencapai satu kata sepakat.

Waytha Moorthy berkata, pihaknya akan mencari penyelesaian sebaik mungkin termasuk mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, bagi memastikan kuil itu dapat dikekalkan.

“Keluhan mengenai insiden itu akan dibawa kepada perhatian Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), ia akan dibincangkan di peringkat tertinggi.

“MB Selangor (Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari) juga sudah memberi persetujuan beliau kepada saya untuk membincangkan masalah ini.

“Wujud juga ketegangan rakyat pelbagai kaum akibat insiden itu.

“Saya menyeru semua pihak supaya bertenang, biar polis mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit (dengan rusuhan),” katanya pada sidang media, di kuil itu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan EXCO Selangor, V Ganabatirau.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, wujud keperluan untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin.

“YB Moorty dan saya akan terus jumpa Perdana Menteri serta merta berbincang untuk mendapatkan satu penyelesaian yang muktamad.

“Saya khuatir kerana ini bukan kuil pertama, di seluruh negara ada ratusan kuil dalam keadaan sama disebabkan pembangunan dan sebagainya. Jadi, kita perlu cara jalan penyelesaian jangka panjang dan konsisten dalam hal ini.

“Kerajaan mahu pastikan rakyat berbilang kaum dan bangsa di negara ini terus hidup dalam keadaan harmoni dan aman,” katanya.\

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 5:38 PM