Syed Umar Ariff dan Rizanizam Abdul Hamid

“MEREKA datang jumpa saya dan beritahu yang mereka akan meninggalkan UMNO,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengesahkan pertemuannya bersama enam pemimpin UMNO seperti yang tular baru-baru ini adalah untuk mereka menyatakan hasrat keluar UMNO.

“Mereka mahukan nasihat saya. Cuma itu, tak ada yang lain,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-20 Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menafikan pertemuannya dan lima lagi pemimpin UMNO dengan Dr Mahathir Oktober lalu, ada kaitan dengan tindakan mereka untuk keluar parti atau memohon ‘talian hayat’ seperti yang tular di laman sosial sejak Rabu lalu.

Sebaliknya, kata Mohamad, ia adalah pertemuan bagi membincangkan saranan Dr Mahathir yang sebelum itu mahukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan parti berkenaan.

Dalam foto yang tersebar itu menunjukkan Mohamad bersama Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Shahidan Kassim serta seorang lagi pemimpin UMNO mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 7:41 PM