LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


GAMBAR beberapa pemimpin tertinggi UMNO bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi tular sejak malam tadi adalah foto lama yang dirakamkan pada September lalu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia tiada kaitan mengenai desas-desus lebih ramai wakil rakyat dan pemimpin akan keluar dari parti berkenaan.

Katanya, gambar itu diambil tiga bulan lalu ketika beliau dan beberapa pemimpin tertinggi parti bertemu Dr Mahathir bagi menghalang tindakan mengharamkan UMNO.

“Foto itu tiada kaitan dengan insiden Ahli Parlimen di Sabah keluar parti (semalam). Gambar itu sudah lama, kalau tidak silap awal September lalu.

“Pertemuan kami bagi meminta Tun (Mahathir) jangan membubarkan UMNO kerana ada usaha berbuat demikian sebelum ini,” katanya kepada NSTP, di Seremban, hari ini.

Mohamad menyatakan pendirian tidak akan mengkhianati UMNO.

Tambahan lagi katanya, parti itu setakat ini memiliki 43 kerusi selepas 11 ahli Parlimennya meninggalkan parti.

“Saya tidak akan keluar UMNO. Pertemuan yang lalu juga tidak membincangkan siapa yang mahu keluar UMNO,” katanya.

Bermula malam tadi, tular gambar di Facebook dan aplikasi WhatsApp menunjukkan Mohamad, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin makan malam bersama Dr Mahathir.

Selain itu, gambar pemimpin berkenaan sedang menikmati makan malam juga turut ditularkan.

Ia menarik perhatian ramai pengguna laman sosial dan ada yang mendakwa ia adalah bukti ada pemimpin UMNO yang mahu keluar parti dan ada juga menganggap mereka mahu meminta pertolongan daripada Dr Mahathir.

Selain itu, ia turut menimbulkan spekulasi kononnya beberapa pemimpin UMNO kini dalam persiapan untuk keluar parti berkenaan.

Berita berkaitan

'Tali hayat? Silap besar...'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 12:53 PM