Siti Nor Hidayatidayu Razali

PEMANGKU Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini adalah untuk mendapatkan nasihat bagi menguruskan UMNO.

Beliau berkata, pertemuan itu hanya perbincangan empat mata dan tidak perlu dikongsi dengan umum.

“Saya tidak perlu menghuraikan kerana itu atas perbincangan empat mata. Elok saya tidak berkongsi.

“Tetapi saya nak menjelaskan tidak pernah meminta nasihat daripada Tun bagaimana untuk menguruskan UMNO.

“Ini kerana saya dan rakan-rakan tahu untuk menguruskan parti kami sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jelajah Aidilfitri di bangunan UMNO, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga calon Presiden UMNO berkata demikian sebagai mengulas pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 7 Jun lalu.

Terdahulu, akhbar melaporkan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menempelak pertemuan antara Pemangku Presiden UMNO dengan Dr Mahathir itu.

Pemimpin veteran UMNO itu menegaskan tidak akan merayu kepada Dr Mahathir untuk mendapatkan nasihat jika beliau sebagai Pemangku Presiden UMNO.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 4:08 PM