GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KANAK-KANAK perempuan ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam perigi di belakang rumahnya di Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa Nur Raudah Janatul Husna Sabri, 2, dikatakan keluar melalui pintu dapur sebelum terjatuh ke dalam perigi tanpa dinding yang terletak kira-kira tiga meter dari rumahnya.

Beliau berkata, difahamkan kejadian berlaku jam 7 pagi ketika ibu bapa mangsa keluar berniaga di bandar Pekan.

Katanya, berdasarkan keterangan bapa mangsa, Sabri Ismail, 40, anak perempuannya itu ditinggalkan di rumah bersama empat adik-beradik lain.

“Kejadian tidak disedari empat kakaknya sebelum mangsa ditemui bapanya yang pulang ke rumah selepas selesai berniaga,” katanya ketika dihubungi.

Zaidi berkata, bapa mangsa terlihat anak bongsunya terapung dalam keadaan terlangkup di dalam perigi ketika hendak masuk ke rumah melalui pintu belakang.

Katanya, bapa mangsa kemudian meminta bantuan jiran untuk mengangkat anaknya keluar dari perigi itu sebelum membawanya ke Hospital Pekan.

“Sebaik tiba di hospital mangsa disahkan meninggal dunia. Pemeriksaan awal ke atas fizikal mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah. Keluarga mangsa juga tidak membenarkan proses bedah siasat dijalankan,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 7:44 PM