Kereta Perodua Kancil (gambar kiri) dinaiki Mat Amin dan Faridah dirempuh Perodua Bezza. Foto Ihsan PDRM
Kereta Perodua Kancil (gambar kiri) dinaiki Mat Amin dan Faridah dirempuh Perodua Bezza. Foto Ihsan PDRM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENEROKA dari FELDA Chini 2, Mat Amin Abdullah, 78, maut, selepas kereta Perodua Kancil dinaiki dirempuh kenderaan lain yang memasuki laluan bertentangan di Kilometer 5, Jalan Pekan-Nenasi, Pekan, hari ini.

Dalam kejadian 11.55 pagi, Mat Amin mati di lokasi kejadian, manakala isterinya, Faridah Ali Hussein, 61, yang turut bersamanya dalam kenderaan itu patah tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, siasatan mendapati, sebuah kereta Perodua Bezza yang dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Kuantan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

“Ketika kejadian mangsa dan isteri yang menaiki Perodua Kancil dalam perjalanan dari bandar Pekan ke Sungai Miang, sebelum dilanggar Perodua Bezza di bahagian sisi sebelah kanan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian, manakala isterinya patah tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Pekan,” katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Amran berkata, pemandu Perodua Bezza, Wan Nurul Hanifah W Hibadullah, 27, dan suaminya, Muhammad Fadzil Hashim, 30, masing-masing cedera pada kepala dan badan, mereka turut menerima rawatan di Hospital Pekan.

Menurutnya, siasatan di lokasi kemalangan mendapati permukaan jalan rata serta lurus dan ketika kejadian cuaca cerah.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengambil keterangan mangsa yang cedera serta saksi bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 3:47 PM