DUA lelaki warga Bangladesh maut selepas van kilang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang  jalan di Kilometer 121, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1). FOTO Ihsan PDRM
DUA lelaki warga Bangladesh maut selepas van kilang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang jalan di Kilometer 121, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1). FOTO Ihsan PDRM
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


DUA lelaki warga Bangladesh maut selepas van kilang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang jalan di Kilometer 121, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), dekat Temerloh, petang tadi.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, mangsa, Hossain Forhad, 36, dan seorang lagi yang identitinya belum dikenal pasti disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Superitendan Zundin Mahmood berkata, ketika kejadian van kilang itu dipandu lelaki tempatan bersama tujuh penumpang yang semuanya warga Bangladesh dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Chini, Pekan.

“Siasatan awal mendapati pemandu itu dipercayai mengantuk dan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya.

“Dua daripada penumpang maut di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang lain yang cedera dibawa keluar selepas terperangkap dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mayat mangsa dan penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk dibedah siasat dan bagi menerima rawatan lanjut.

Zundin berkata, kenderaan terbabit dihantar ke PUSPAKOM Temerloh manakala sampel darah dan air kencing pemandu akan diambil.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 .

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 10:31 PM