MUHAMMAD Hafiz Abdullah. FOTO Farizul Hafiz Awang
MUHAMMAD Hafiz Abdullah. FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

KECEDERAAN berganda di kepala dan limpa yang pecah menjadi punca kematian kanak-kanak lelaki lima tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera bapa tirinya di Kampung Batu Balik, Pekan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nayan berkata, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini.

“Jenazah mangsa sudah diserahkan kepada anggota keluarga terdekat, 4.15 petang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Rompin,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media, malam ini.

Dalam kejadian 4 petang semalam, mangsa Muhammad Hafiz Abdullah, 5, meninggal dunia ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan.

Othman dalam kenyataan sebelum ini berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baharu di dada; kesan cucuhan api rokok di tapak kaki; bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka kecil baharu di kening kanan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati bapa tiri mangsa seorang penoreh getah yang tinggal di Kampung Batu Balik, Pekan mengaku ada memukul kanak-kanak itu pada hari kejadian.

Berikutan itu, bapa tiri dan ibu mangsa ditahan reman sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

'Terkilan hanya jumpa jenazah anak saudara [METROTV]'

'[UPDATE] Suspek dera anak tiri jarang bergaul'

'Budak didera sampai mati'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 11:45 PM