HATTEM dikatakan hilang kawalan menyebabkan dia terbabit dengan kemalangan. FOTO Facebook
HATTEM dikatakan hilang kawalan menyebabkan dia terbabit dengan kemalangan. FOTO Facebook
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hilang kawalan ketika berlumba menyebabkan kemalangan berlaku sehingga mengorbankan pelumba drag profesional, Hattem Rashdi ketika dalam perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 di Speedway Circuit Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan.

Perkara itu disahkan, Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin selepas menerima laporan bahawa kemalangan berkenaan berlaku lebih kurang jam 12.30 tengah malam Ahad lalu.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Zaidi, berdasarkan siasatan awal mangsa bersama 49 peserta sedang mengikuti program latihan 'Test n Tune Sukan Bermotor 2023' anjuran MUSC Motorsports bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang dan Komuniti Dragster.

"Ketika sampai giliran mangsa, Allahyarham hilang kawalan dan terjatuh ke atas jalan. Akibat kemalangan mangsa dibawa menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

"Pada jam lebih kurang 3.45 petang semalam kami menerima laporan mangsa disahkan meninggal dunia," katanya.

Tambah Zaidi, mangsa meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian otak selepas terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Mengikut rekod, kematian membabitkan pelumba drag bukannya kali pertama kerana pada Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu, Oktober tahun lalu menyaksikan seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.

Selang dua bulan kemudian, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan 'CCT Battle of Champion' di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 2:39 PM