LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


SYARIKAT pemaju, One City Development Sdn Bhd menafikan tuduhan pihaknya terbabit dalam insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, hari ini..

Menurut kenyataan dikeluarkan syarikat berkenaan, pihaknya menyifatkan tuduhan dilemparkan terhadap mereka berniat jahat dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan dalam insiden terbabit.

"One City mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam mengendalikan kuil terbabit yang masih berada di kawasan berkenaan. Sebarang tuduhan bertentangan dengan perkara itu adalah tidak benar dan One City berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan sedemikian.

“Ia bukan satu kelebihan kepada One City untuk mewujudkan suasana kurang selesa, ketegangan dan masalah terhadap tanah milik syarikat ini sendiri seperti didakwa segelintir pihak.

“Perkara itu hanya akan mengakibatkan proses undang-undang yang panjang dan terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa bagi memudahkan proses pemindahan kuil itu secara teratur dan aman," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan pihak yang mengikuti perkembangan kes itu boleh menilai fakta sebenar mengenai pemindahan kuil terbabit sekali gus membuktikan fakta bahawa One City sudah menunda pelaksanaan writ beberapa kali dan mencuba terbaik bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.

"Pihak One City berharap urusan pengambilalihan tanah terbabit dapat dilakukan dengan cara yang betul dan aman selaras dengan perintah mahkamah dan persetujuan kehakiman diperoleh.

“Semua pihak diminta mematuhi perintah mahkamah, pihak polis, kakitangan One City dan mana-mana pihak yang yang menjalankan tugas mengikut undang-undang," katanya.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pada 25 Oktober lalu, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan ketika urusan pemindahan dijalankan.

Berita berkaitan

Bergaduh sampai 18 kenderaan terbakar

Kenapa kau bakar rumah kongsi pula? [METROTV]

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy hubungi TKPN

[UPDATE] Tiada unsur perkauman kata polis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 2:49 PM