Iskandar Shah Mohamed


SERAMAI 17 individu sudah ditahan bagi membantu siasatan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, awal pagi hari ini.

Semua lelaki tempatan yang sedang dikenal pasti usia itu ditahan setakat petang tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua suspek itu termasuk tiga lelaki Melayu dan tiga lelaki India yang mengalami kecederaan dalam pergaduhan berkenaan.

“Mereka ditahan selepas didapati berada di lokasi kekecohan berkenaan dan polis turut merampas dua pedang, dua kayu serta paip getah.

“Insiden itu turut mengakibatkan seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya patah tangan ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan.

“Kita sudah mengenal pasti dalang utama kejadian dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, malam ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Kata Mohamad Fuzi, pihaknya sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh, dan turut menerima 29 laporan polis berkaitan kejadian itu setakat ini.

“Kita akan mendapatkan kebenaran reman ke atas semua suspek di mahkamah esok,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis menafikan dakwaan kelewatan pihak polis tiba di kuil berkenaan sehingga berlaku rusuhan terbabit.

“Bertindak atas maklumat awam jam 2.40 pagi (hari ini), empat kereta peronda polis (MPV) dan beberapa Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian (2.50 pagi).

“Setibanya di lokasi itu, terdapat seramai 50 lelaki Melayu dan atas tujuan keselamatan, sepasukan 700 anggota polis termasuk dari IPD Serdang serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut tiba di kuil berkenaan, jam 5 pagi.

“Sehingga kini, kita menjalankan pemantauan berterusan selama 24 jam di sekitar kawasan berkenaan dan keadaan masih terkawal,” katanya memaklumkan proses pemindahan kuil itu pernah dibuat beberapa kali sebelum ini, namun gagal.

Justeru, Mohamad Fuzi menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur provokasi atau hasutan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.

“Selain itu, saya menasihatkan seramai 2,000 orang awam yang dikatakan berada di sekitar lokasi kejadian ketika ini agar tidak mencetuskan huru-hara atau provokasi,” katanya.

Media hari ini melaporkan sebanyak 18 kenderaan dibakar dan sebuah MPV polis dibaling batu dalam kejadian rusuhan di tapak kuil berkenaan.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.

Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil itu menjadi punca pergaduhan.

Berita berkaitan

'Hati-hati keluar kenyataan...' - Muhyiddin

Rusuhan kuil: Polis minta semua bertenang!

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy salahkan polis

Polis berkawal sampai keadaan tenang

Bergaduh sampai 18 kenderaan terbakar

[UPDATE] Tiada unsur perkauman kata polis

Kenapa kau bakar rumah kongsi pula? [METROTV]

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy hubungi TKPN

Rusuhan kuil: Pemaju tak terbabit

'Mungkin ada kesalahan tatabahasa' - MB Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 10:13 PM