WAN Mohamad Zulhakimi (kanan) bersama ahli keluarganya berada di Bilik Forensik Hospital Dungun untuk menuntut jenazah Mohamad Ariff yang ditemui lemas di Sungai Penyiram, Durian Mentangau, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
WAN Mohamad Zulhakimi (kanan) bersama ahli keluarganya berada di Bilik Forensik Hospital Dungun untuk menuntut jenazah Mohamad Ariff yang ditemui lemas di Sungai Penyiram, Durian Mentangau, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


“SAYA yakin, rindu mak pada abang akan membolehkan mayatnya ditemui hari ini. Sebab itu saya rayu mak datang hari ini walaupun dia sakit buah pinggang,” kata Wan Mohamad Zulhakimi Wan Yahaya, 20, adik kepada Konstabel Wan Mohamad Ariff Wan Yahaya, 28, yang ditemui lemas di Sungai Penyiram, Durian Mentangau, Dungun, hari ini.

Menurutnya, dia mengambil keputusan bercuti daripada kerja di sebuah stesen minyak di Paka sejak mengetahui kejadian malang menimpa abangnya, seminggu lalu.

“Seminggu saya tidak bekerja... saya dan ahli keluarga lain berkampung di lokasi kejadian mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) abang.

“Kami tak putus berdoa dan melakukan solat hajat, tetapi hari ini semacam ada keyakinan mayat abang akan ditemui,” katanya.

Katanya, dia gembira apabila ibunya, Wan Yah Wan Yaacob, 52, sanggup datang dari Pasir Mas, Kelantan dan tidak lama selepas menghubungi ibunya yang berada di Plaza Tol Kuala Dungun, dia mendapat berita pasukan SAR berjaya menemui arwah abangnya.

“Biarpun abang sudah meninggal dunia, saya tetap bersyukur dan segera menghubungi ibu sekali lagi untuk memaklumkan perkara itu.

“Sebagai adik, tentulah sedih yang teramat sangat kerana saya tinggal bersama arwah, tetapi pada masa sama, saya dan keluarga bangga dia 'pergi' ketika menjalankan menangkap penjenayah. Dia pergi sebagi hero,” katanya.

Dalam kejadian 8.30 malam Jumaat lalu, Wan Mohamad Ariff yang bertugas di Balai Polis Paka dan suspek dikejarnya dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai itu.

Sebelum kejadian, mangsa bersama tiga rakan setugas, Koperal Mohd Sayuti Sani, 35, Koperal Mohd Nor Fazli Ibrahim, 31, dan Konstabel Zazali Omar, 33, mengejar suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan.

Mayat suspek berusia 39 tahun itu ditemui pada 11.30 pagi Isnin, lalu iaitu tiga hari selepas kejadian.

Berita berkaitan

'Naluri ibu Konstabel Ariff tepat'

'Syukur doa kami dimakbulkan...'

'Alhamdulillah, jenazah Ariff ditemui'

'Dah jumpa mayat suspek pecah rumah'

'Saya nak cepat pergi ke tempat lemas'

'Abang berlutut mohon maaf'

'https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/11/394006/polis-suspek-dikhuatiri-lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 10:51 PM