PASUKAN mencari dan menyelamat Wan Mohamad Ariff  (gambar kecil, kanan) dan suspek yang terjatuh di Sungai Durian Mentangau. (Gambar kecil, kiri) Wan Mohamad Zulhakimi. FOTO Rosli Ilham
PASUKAN mencari dan menyelamat Wan Mohamad Ariff (gambar kecil, kanan) dan suspek yang terjatuh di Sungai Durian Mentangau. (Gambar kecil, kiri) Wan Mohamad Zulhakimi. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

“SEBELUM keluar bertugas pagi semalam, abang berlutut di depan saya sambil memohon maaf dan memeluk serta mencium pipi saya.

"Saya sangat pelik dengan perbuatannya itu sedangkan dia tidak pernah berbuat salah kepada saya," kata Wan Mohamad Zulhakimi Wan Yahaya, 20, adik kepada Konstabel Wan Mohamad Ariff Wan Yahaya, 28, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kampung Penyiram, Durian Mentangau, Dungun, semalam.

Turut dikhuatiri lemas ialah suspek berusia 39 tahun dikejarnya yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah serta mencuri kereta di Kampung Limbong Paka, Dungun, 8 November lalu.

Wan Mohamad Zulhakimi berkata, abangnya itu sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu sebelum ditukarkan ke Balai Polis Paka sejak tiga tahun lalu.

"Saya pula sudah dua tahun tinggal bersama abang sejak mula bekerja di sebuah stesen minyak di sini.

"Isteri abang pula bekerja sebagai jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan tinggal di Kuala Terengganu dan mereka sudah lima tahun berkahwin, namun belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Beliau berkata, Wan Mohamad Ariff sudah dua hari bersikap pelik apabila tidak bercakap dan dia ada bertanya sekiranya beliau ada masalah, namun abangnya menjawab tiada apa-apa.

"Ketika memohon maaf pagi itu, abang juga sempat berpesan kepada saya supaya menjaga diri dan bekerja dengan baik serta meminta saya menyampaikan maaf kepada ayah dan ibu kami.

"Sepanjang hari saya asyik teringat perbuatan pelik abang dan pada 5.30 petang abang bersama tiga rakan setugasnya datang mengisi minyak kereta di tempat kerja saya, namun dia tidak pula menegur saya," katanya.

Wan Mohamad Zulhakimi berkata, dia akhirnya dikejutkan dengan berita kejadian yang berlaku kepada abangnya itu kira-kira 9 malam, sebelum segera memaklumkan kepada kakak iparnya dan kedua ibu bapa di Pasir Mas, Kelantan.

Berita berkaitan

  • ‘Saya nak cepat pergi ke tempat lemas’
  • Polis, suspek dikhuatiri lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 6:50 PM