RAHMAD Mega tampil menyanyikan lagu pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang ke-13. FOTO ihsan UMP
RAHMAD Mega tampil menyanyikan lagu pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang ke-13. FOTO ihsan UMP
Sharinnahar Latib

PENYANYI rock terkenal era 90-an, Rahmad Tohak atau Rahmad Mega membuat kejutan untuk anaknya apabila tampil menyanyi di pentas sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kuantan, hari ini.

Rahmad tampil pada hari kedua konvokesyen yang turut menyaksikan anak sulungnya, Suhazmi Amrin, 23, menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Elektronik).

Kehadiran Rahmad menyanyikan lagu Bayangan Gurauan di pentas itu turut mengejutkan orang ramai kerana lazimnya, persembahan hanya dibuat oleh penghibur yang dipilih pengurusan universiti.

Suhazmi Amrin yang terharu dengan persembahan itu, kemudian naik ke pentas dan memeluk ayahnya.

Ditemui selepas itu, Suhazmi Amrin berkata, dia terkejut melihat kehadiran ayahnya menyanyikan lagu pada hari bersejarah itu dan menghadiahkan kejayaan membawa pulang ijazah kepada keluarga yang banyak membantu.

Dia yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana bidang sains berkata, turut meminati bidang nyanyian namun, dilakukan sekadar hobi.

“Saya bercita-cita ingin menjadi seorang jurutera atau seorang pensyarah suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Rahmad berkata, dia bersyukur dengan pencapaian Suhazmi Amrin dan sentiasa memberi galakan supaya terus melanjutkan pengajian dalam apa jua bidang yang digemari termasuk kejuruteraan.

“Saya sentiasa menyokong minat anak-anak dan lebih cenderung dalam bidang akademik, malah saya dan isteri sentiasa mendoakan impian mereka tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 11:15 PM