Zuhainy Zulkiffli


IMPIAN penuntut warga emas untuk menerima ijazah yang diserah Tuanku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sejak sembilan tahun lalu tercapai selepas beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen ke-57 USM hari ini.

Ahmad Bakri Abdul Ghafar, 77, yang turut dikenali ‘Dr Abah’ dari Ipoh, Perak mencuri perhatian berikutan menjadi graduan paling tua menerima ijazah pada sidang pertama berkenaan.

Bapa tiga anak itu berkata, selepas menamatkan Ijazah Sarjana pada 2004, dia mengambil keputusan menyambung pengajian ke peringkat PhD Kejuruteraan Awam dalam pengkhususan Pengurusan Sungai walaupun kurang mendapat sokongan keluarga.

“Ketika konvokesyen peringkat Ijazah Sarjana, saya terkilan kerana ijazah itu bukan disampaikan Tuanku Canselor melainkan graduan PhD dan kerana itu saya berhasrat mahu menyambung pengajian.

“Tiada petua khusus, cuma peluang belajar sekarang lebih baik dan mudah kerana itu juga saya mengambil peluang ini, justeru saya merancang mahu menyumbang ilmu dalam membantu mana-mana agensi yang memerlukan khidmat saya dalam bidang pengurusan sungai,” katanya ketika ditemui di Georgetown hari ini.

Ahmad Bakri berkongsi kegembiraan bersama Aidalina selepas menerima PhD hari ini. FOTO Danial Saad
Ahmad Bakri berkongsi kegembiraan bersama Aidalina selepas menerima PhD hari ini. FOTO Danial Saad

Ahmad Bakri turut berkongsi kenangan manis di atas pentas ketika menerima ijazah daripada Tuanku Canselor.

“Tuanku bertanya usia saya dan menghulur tangan untuk bersalam sebelum menyerahkan ijazah, sukar hendak gambarkan perasaan ketika itu.

“Apabila turun dari pentas, perasaan bertukar sebak kerana sudah tertunai semua hasrat yang diimpikan sejak sembilan tahun lalu,” katanya.

Seperti graduan lain, Ahmad Bakri berkata, dia menghadapi saat sukar dalam tempoh menghabiskan pengajian termasuk kehilangan anak kedua.

Berikutan faktor usia, dia juga terpaksa menangguhkan pengajian berikutan melakukan pembedahan pintasan jantung, buah pinggang, membuang selaput mata serta beberapa penyakit lagi.

“Ada satu ketika tiba-tiba saya tidak dapat bangun dan bergerak menyebabkan saya perlu melakukan pembedahan neuro.

“Saya sarankan kepada anak muda supaya tidak bertangguh jika mahu melanjutkan pengajian dan tidak perlu tunggu hingga usia tua bagi mengelakkan kejadian seperti ini,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Ahmad Bakri, Aidalina, 42, berkata, mereka sekeluarga ketika itu kurang bersetuju dengan hasrat bapa melanjutkan pelajaran berikutan faktor usia serta masalah penyakitnya.

“Melihat ayah di atas pentas, terasa semuanya sudah selamat namun saya terkilan kerana ibu (Mazrah Mahadi, 76) tidak dapat hadir kerana kurang sihat,” katanya.

Upacara sidang pertama itu membabitkan 554 graduan menerima ijazah dan konvokesyen yang bermula semalam dan ia berlangsung sehingga 29 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 4:06 PM
Ahmad Bakri menerima PhD daripada Tuanku Syed Sirajuddin pada Majlis Konvokesyen ke-57 USM hari ini. FOTO Danial Saad
Ahmad Bakri menerima PhD daripada Tuanku Syed Sirajuddin pada Majlis Konvokesyen ke-57 USM hari ini. FOTO Danial Saad