Mahad dan Farah Diana bergambar selepas Majlis Konvokesyen UTM Ke-59. FOTO Mary Victoria Dass
Mahad dan Farah Diana bergambar selepas Majlis Konvokesyen UTM Ke-59. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


MAJLIS Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-59 di Dewan Sultan Iskandar, hari ini, memberi kenangan paling manis buat seorang bapa dan anak perempuannya yang menaiki pentas menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Mahad Ayem, 63, yang bertugas sebagai pensyarah UTM Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (Space) bersyukur kerana dia bersama anaknya, Farah Diana, 31, masing-masing berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang Matematik dan Kejuruteraan Elektrik.

Menurutnya, dia menganggap PhD yang diterima bersama anaknya itu sebagai satu rahmat kerana tidak ramai insan yang mampu mengecapi kenangan bersejarah seumpamanya.

"Saya mula melanjutkan pengajian sejak sembilan tahun lalu namun PhD saya tertangguh kerana diambil secara separuh masa.

"Ia berikutan jadual harian saya amat padat dan berdepan dengan kekangan waktu kerana mengajar dan berurusan lain.

"Apabila Farah Diana turut sambung belajar, ia membuka peluang kepada kami untuk sama-sama berbincang memandangkan kedua-dua bidang yang kami ambil turut berkaitan," katanya.

Sementara itu, Farah Diana yang juga anak kedua daripada tujuh beradik berkata, bapanya dianggap sebagai mentor serta sumber rujukan.

"Kami juga kerap bertukar pendapat ketika menyiapkan tesis.

"Saya menyambung pengajian PhD secara sepenuh masa sejak empat tahun lalu.

"Sebelum ini, saya bertugas sebagai tutor di UTM dan tidak dinafikan untuk menyempurnakan PhD, saya berdepan cabaran kerana perlu menguruskan makan minum suami dan memberi penjagaan kepada dua anak berusia enam bulan dan tiga tahun," katanya.

Farah berkata, dia berterima kasih kepada bapanya selain suami serta ahli keluarga yang banyak memberi sokongan dan dorongan.

"Sebagai wanita yang sudah berkahwin, tanggungjawab memang banyak namun pengurusan masa amat penting.

"Saya bernasib baik kerana bapa turut melanjutkan pengajian dan kenangan bertukar pandangan ketika menyiapkan tesis bersamanya menjadi kenangan indah," katanya.

Terdahulu, dua graduan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Petroleum) , Farah Waheeda Arshad, 23, dan Josiah Wong Siew Kai, 23, menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) yang disampaikan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang juga Canselor UTM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 3:18 PM