Norhayati (kanan) bersama suami, Mohd Fauzi menjadi antara graduan diraikan di Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2022 sempena Konvokesyen Ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar di sini. FOTO  IHSAN UTMSPACE
Norhayati (kanan) bersama suami, Mohd Fauzi menjadi antara graduan diraikan di Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2022 sempena Konvokesyen Ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar di sini. FOTO IHSAN UTMSPACE
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Ketika pandemik Covid-19, dua anak saya mengikuti Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Dari situ timbul keinginan untuk saya dan suami menyambung pengajian ijazah sarjana secara dalam talian," kata graduan UTMSPACE, Norhayati Ab Hamid, 44.

Norhayati yang menetap di Johor berkata, dia dan pasangannya, Mohd Fauzi Bachok, 44, bersyukur kerana anak-anak mencetus azam untuk melanjutkan pengajian sekali gus mengejar impian tertangguh selama ini untuk menggenggam ijazah sarjana.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dua anaknya Haiman, 15 dan Hannah, 11, mengikuti PdPR manakala anak sulung, Haekal, 21, yang mengambil Ijazah Kejuruteraan Awam di universiti awam dan anak kedua, Hakimi, 19, di Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak belajar secara dalam talian ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Menurutnya, suasana belajar bersama anak adalah suatu pengalaman yang cukup bermakna dan menyeronokkan baginya dan suami.

Katanya, malah keputusan mereka melanjutkan pengajian pada Jun 2021 juga secara tidak langsung menjadi sokongan moral kepada anak yang agak lama berada di rumah ketika pandemik Covid-19 serta meneruskan pembelajaran di rumah.

"Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Informasi Chiba University di Jepun manakala suaminya memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Hiroshima University di Jepun.

"Kami memilih untuk mengikuti program sama iaitu Sarjana Profesional dalam Pengurusan Perniagaan kerana ia membolehkan kami saling membantu dan bekerjasama dalam memahami semua subjek dan tugasan.

"Antara cabaran ditempuhi kami adalah perselisihan pendapat ketika sesi perbincangan dan penyiapan tugasan. Bagaimanapun ia sebenarnya menjadikan kami lebih terbuka dalam pencarian ilmu dan mewujudkan komunikasi yang berkesan serta kami saling memberi dorongan dan sokongan untuk sama-sama menyiapkan tugasan, penyelidikan serta tesis," katanya.

Norhayati yang mengurus syarikat logistik berkata, dia bersyukur dapat berkongsi pentas konvokesyen bersama suaminya yang juga pengarah urusan sebuah syarikat swasta.

"Insya-Allah kami akan terus belajar dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Niat dan semangat sentiasa ada untuk meneruskan pencarian ilmu dan kemahiran," katanya.

Seramai 744 graduan yang terdiri daripada 173 graduan sarjana profesional, 509 graduan diploma profesional serta 62 diploma sksekutif diraikan di di Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2022 sempena Konvokesyen Ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar di sini, Sabtu lalu.

Graduan berkenaan adalah penuntut daripada 32 Rakan Kerjasama UTMSPACE dan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR).

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE Profesor Dr Nazri Ali, Pegawai-pegawai Kanan Universiti, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah UTMSPACE, Pengarah Urusan dan wakil-wakil rakan kerjasama UTMSPACE.

Kebanyakan graduan yang memohon program di UTMSPACE terdiri daripada golongan yang sudah berkerjaya dan terbabit secara langsung dalam industri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 5:04 PM