AHLI PKR melakukan proses pembuangan undi Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan. FOTO Norsyazwani Nasri
AHLI PKR melakukan proses pembuangan undi Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

PENYOKONG Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR berhubung penggunaan alat pembesar suara oleh penyokong Rafizi Ramli ketika proses pengundian cabang Kota Samarahan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kota Samarahan, hari ini.

Calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Mansor Othman berkata, penggunaan alat pembesar suara memang tidak dibenarkan untuk proses kempen dan merayu undi, malah ia sebahagian daripada syarat perlu dipatuhi kesemua penyokong calon bertanding.

“Penggunaan alat pembesar suara boleh menimbulkan provokasi yang tidak sihat dalam kalangan ahli,” katanya ketika ditemui NSTP di Kota Samarahan, hari ini.

Tinjauan di pusat pengundian cabang Kota Samarahan mendapati proses pemilihan berjalan lancar, walaupun ada sedikit kekecohan akibat penggunaan pembesar suara berkenaan.

Mansor berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada JPP untuk menentukan sebarang tindakan susulan.

“Secara keseluruhannya berdasarkan pemerhatian proses pemilihan di Sarawak berjalan dengan lancar dan cukup baik.

“Hanya dilaporkan berlaku sedikit kekecohan, namun keadaannya masih terkawal,” katanya.

Lebih 1,000 ahli cabang Kota Samarahan melakukan pengundian hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 6:01 PM