PENYELARAS Pemilihan PKR Cabang Tanjong Malim mengunakan pembesar suara di Pusat Pemilihan PKR Cabang Tanjung Malim. FOTO Rosman Shamsudin
PENYELARAS Pemilihan PKR Cabang Tanjong Malim mengunakan pembesar suara di Pusat Pemilihan PKR Cabang Tanjung Malim. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

TINDAKAN lelaki bersuara lantang menggunakan pembesar suara di pintu masuk bangunan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) pada Pemilihan Jawatankuasa PKR Cabang Tanjung Malim hari ini, mencuri tumpuan orang ramai di situ.

Nada suara tinggi dan tegas Penyelaras Pemilihan Jawatankuasa PKR Tanjung Malim, Meor Azlita Tajuddin, 48, menarik perhatian kerana ia kelihatan seolah-olah sedang memarahi ahli PKR yang berada di bangunan berkenaan.

Meor Azlita berkata, dia memberi arahan dengan suara kuat dan tegas semata-mata untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar, bukannya untuk menakutkan ahli parti.

“Memang sekali dengar suara saya memberi arahan seolah-olah sedang marah tetapi sebenarnya suara yang dikeluarkan agak tegas bukannya marah.

“Saya berharap ahli yang hadir jangan ambil hati apabila menerima arahan daripada saya kerana semua ini hanya hendak memastikan urusan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Tanjung Malim.

Seramai 3,890 ahli PKR layak mengundi dalam pemilihan berkenaan yang bermula jam 10 pagi.

Meor Azlita berkata, dia dipertanggungjawabkan memastikan proses pengundian di cabang berkenaan berjalan lancar menyebabkannya terpaksa tegas dalam memberi arahan kepada ahli.

Katanya, bukan mudah untuk mengendalikan ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat usia dan jika dilakukan sambil lewa dibimbangi proses pengundian akan terjejas.

Menurutnya, PKR adalah salah sebuah parti yang memerintah kerajaan sekarang dan bukan lagi pembangkang menyebabkan ahli perlu menampilkan imej baik dengan mematuhi peraturan sepanjang proses pemilihan cabang itu.

“Saya sedar ada segelintir ahli tidak suka dengan cara saya tetapi semua itu adalah lumrah kehidupan kerana yang penting menjalankan amanah yang diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 8:25 PM