Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KEGEMBIRAAN 15 sekeluarga berkelah di Empangan Timah Tasoh, Padang Besar, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas selepas bot dinaiki terbalik dipukul gelombang ketika cuaca buruk, hari ini.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa Jumain Ingan, 60, dan anak saudaranya, Imran Afiq Ismail, 13, ditemui lemas manakala anak Jumain, Julfaezuan Jumain, 27, sempat berenang ke tebing bagi menyelamatkan diri sejurus bot dinaiki mereka bertiga terbalik.

Ibu saudara Julfaezuan, Salmah Ismail, 52, berkata anak saudaranya itu datang bersama bapa dan keluarga mentuanya untuk berkelah di kawasan empangan sambil membawa bot bertujuan untuk menangkap ikan.

“Sebaik tiba di empangan, mereka bertiga turun ke tasik untuk menjala ikan, bagaimanapun tidak lama kemudian saya melihat Julfaezuan datang berlari ke arah kami memaklumkan bot mereka terbalik.

“Dia yang dalam keadaan panik dan keletihan kemudian menyuruh kami segera menelefon bomba kerana bapanya bersama Afiq gagal berenang ke tebing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Salmah berkata, sementara menanti kehadiran bomba, Julfaezuan sempat bercerita bahawa bot dinaiki mereka gagal dikawal dan tiba-tiba terbalik ketika hujan lebat bersama angin kencang.

“Julfaezuan sempat berenang ke tebing, manakala bapanya bersama Afiq dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam kerana mereka tidak mahir berenang.

“Kami memang tidak menyangka rancangan berkumpul bersama keluarga berakhir dengan kejadian sedih, namun reda atas apa yang berlaku,” katanya.

Cubaan NSTP untuk menemubual Julfaezuan gagal kerana dia tidak mampu berkata apa-apa selain hanya menangis mengenangkan nasib menimpa mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4 petang.

Beliau berkata, polis bersama bomba dan anggota Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) kemudian melancarkan operasi mencari kedua-dua mangsa yang lemas.

“Mayat pertama iaitu remaja berusia 13 tahun ditemui pada 6 petang, sebelum mangsa kedua ditemui pada 7 malam sekitar kawasan bot mereka dilaporkan terbalik.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Berita berkaitan

'Ajal bot terbalik ketika jala ikan'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 9:50 PM
JULFAEZUAN (dua dari kiri) terselamat dalam kejadian bot terbalik ketika menjala ikan di Empangan Timah Tasoh, Padang Besar, hari ini manakala bapanya dan seorang lagi ahli keluarganya lemas. FOTO Azhar Ramli.
JULFAEZUAN (dua dari kiri) terselamat dalam kejadian bot terbalik ketika menjala ikan di Empangan Timah Tasoh, Padang Besar, hari ini manakala bapanya dan seorang lagi ahli keluarganya lemas. FOTO Azhar Ramli.