MAYAT mangsa dibawa polis ke Hospital Gerik untuk bedah siasat. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT mangsa dibawa polis ke Hospital Gerik untuk bedah siasat. FOTO Ihsan Bomba
D J Dolasoh


REMAJA lelaki lemas selepas bot dinaiki bersama datuknya terbalik dalam kejadian di Sungai Perak, Kampung Perah, Gerik pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa Mohamad Akmal Syazani Osman, 17, dikatakan menyeberangi sungai berkenaan menaiki bot bersama datuknya, Samsudin Md Piah, 64.

Mereka dikatakan ingin ke kebun di seberang sungai terbabit dan datuk mangsa terselamat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, ketika tiba di pertengahan sungai tiba-tiba bot yang mereka naiki itu terbalik.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa dan datuknya terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus deras.

"Mohamad Akmal terkapai-kapai sebelum tenggelam manakala datuknya selamat berenang ke tebing sungai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, berikutan itu sepasukan bomba, polis dan penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebelum menemui mangsa yang sudah meninggal dunia pada 11.30 pagi tadi kira-kira 5 kilometer dari tempat kejadian.

"Mayat mangsa yang tinggal di Kampung Perah di sini, kemudian dihantar ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 4:24 PM