Anggota penyelamat berusaha mencari Ismaniza Atira yang dikhuatiri lemas. Foto Ihsan Pembaca
Anggota penyelamat berusaha mencari Ismaniza Atira yang dikhuatiri lemas. Foto Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KANAK-KANAK perempuan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya bersama keluarga terbalik di Sungai Pasir Linggi, dekat Kuala Krai, Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa, Ismaniza Atira Ismail, 10, bersama enam ahli keluarganya menaiki bot untuk menyeberangi sungai untuk pulang ke rumahnya di Kampung Pasir Linggi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Che Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada 6.15 petang semalam berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai 16 anggota, termasuk pegawai serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, kami dapati enam mangsa yang lain, termasuk bapa saudara mangsa selamat berenang ke tebing sungai.

“Kami difahamkan, bot yang dinaiki mangsa bersama bapa saudara dan ahli keluarga yang lain tiba-tiba terbalik.

“Mereka berpaut pada buluh di bot dan pada masa yang sama bapa saudara membawa seorang demi seorang daripada mereka ke tebing, namun mangsa mengikut berenang dari arah belakang sebelum hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi mencari mangsa bermula semalam dan hari ini yang turut dibantu polis dan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 12:00 PM