JENAZAH enam penyelam bomba yang lemas ketika mencari remaja yang dilaporkan terjatuh ke sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong semalam dibawa ke negeri masing-masing untuk dikebumikan. FOTO Saddam Yusoff
JENAZAH enam penyelam bomba yang lemas ketika mencari remaja yang dilaporkan terjatuh ke sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong semalam dibawa ke negeri masing-masing untuk dikebumikan. FOTO Saddam Yusoff
Norrasyidah ArshadSiraj Mohd Zaini dan Teoh Pei Ying dan Ruwaida Md Zain


“KALAU dah ajal, itu ketentuanNya,” demikian kata Allahyarham Malik Shaari, 25, seorang daripada enam anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lemas di Puchong semalam, dalam membuat sebarang keputusan dalam hidupnya.

Kakak Allahyarham Malik Sahaari, Noratikah Shaari, 28, berkata, arwah sememangnya minat dan ikhlas menjadi anggota bomba.

“Apa juga keputusan dibuat arwah, dia menganggap ajal maut di tangan Tuhan. Dia memang ikhlas menjadi anggota bomba,” katanya.

Noratikah berkata, arwah adiknya anggota bomba yang berdedikasi, malah sangat komited terhadap kerjayanya.

Katanya, arwah yang juga satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik itu sangat rapat dengannya serta rajin berkongsi segala aktiviti di tempat kerjanya.

MALIK Shaari. FOTO NSTP
MALIK Shaari. FOTO NSTP

“Saya dapat berita daripada saudara malam tadi, dan terus ke hospital untuk proses pengecaman.

“Arwah memang rapat dan apa-apa operasi beliau akan beritahu saya, cuma semalam saja beliau tak beritahu,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15, Shah Alam, hari ini.

Allahyarham Malik berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15 dan ditempatkan sebagai Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA).

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Serdang dan ditempatkan di BBP Shah Alam di Seksyen 15 untuk upacara penghormatan terakhir dan solat jenazah.

Dalam pada itu, Noratikah berkata Allahyarham yang masih bujang itu juga disifatkan sebagai anak yang baik dan taat kepada orang tua.

“Beliau baru saja balik bercuti di Kelantan kerana menjaga ayah yang menghidapi sakit jantung.

“Saya sempat berjumpanya semalam kira-kira 4 pagi selepas dia tiba dari kampung dan terus masuk kerja pada 8 pagi kerana bertugas syif pagi,” katanya.

Noratikah berkata, seluruh ahli keluarganya kini sedang menanti jenazah Allahyarham yang dijangka dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 12:11 PM