NOR Aina Damia, 7, menyiram air di kubur ayahnya, Izatul Akma. FOTO Fathil Asri.
NOR Aina Damia, 7, menyiram air di kubur ayahnya, Izatul Akma. FOTO Fathil Asri.
Syaherah Mustafa

SERAMAI 500 ahli keluarga termasuk rakan sekerja dan penduduk kampung menghadiri pengebumian Izatul Akma Wan Ibrahim, di Tamah Lubuk Stol, di Rantau Panjang, hari ini.

Allahyarham yang berusia 32 tahun selamat dikebumikan pada jam 7 malam ini selepas solat jenazahnya diimamkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Jenazah Izatul Akma tiba di kediaman rumahnya di Kampung Bechah Kaki, di Rantau Panjang, pada jam 6 petang dengan diiringi anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.

Isterinya, Rosmaria Ab Ramli, 32, berkata dia reda dengan pemergian suami tercinta walaupun masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku.

“Saya mendapat khabar pemergian suami selepas menerima kunjungan beberapa anggota bomba ke rumah malam tadi.

“Sebagai isteri anggota bomba saya sentiasa diingatkan untuk menerima sebarang kemungkinan yang boleh berlaku. Saya bangga dengan pengorbanan suami.

“Anak kami seramai tiga orang berusia dua tahun hingga tujuh tahun akan saya besarkan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam semalam, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba lemas selepas dipercayai terbelit dengan tali antara satu sama lain selepas arus di lokasi pencarian terlalu kuat sehingga mereka gagal menyelamatkan diri.

Selain Izatul Akma, lima lagi yang maut ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Mazlan Omar Baki, 25, dan Yahya Ali, 24 dari PPDA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.

Dua mangsa lain, Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dan Adnan Othman, 33, dari PPDA BBP Shah Alam.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 7:53 PM