SERDANG 04 OKTOBER 2018. Nor Nadia Kamaluddin isteri kepada Mohd Fatah Hashim salah seorang dari 6 anggota Bomba mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu di hadapan bilik mayat Hospital Serdang. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
SERDANG 04 OKTOBER 2018. Nor Nadia Kamaluddin isteri kepada Mohd Fatah Hashim salah seorang dari 6 anggota Bomba mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu di hadapan bilik mayat Hospital Serdang. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Ruwaida Md Zain


ISTERI kepada Mohd Fatah Hashim, 34, seorang daripada anggota bomba yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Puchong semalam, tidak menyangka mimpi suami meninggal dunia jadi kenyataan.

Noor Nadia Kamaludin, 29, ketika ditemui selepas solat jenazah di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam hari ini, masih terkejut dengan berita pemergian suaminya.

"Dua minggu lalu, saya bermimpi suami meninggal dunia dan saya beritahu arwah tetapi arwah ketawa saja.

"Arwah tak cakap apa-apa bila saya cakap mengenai mimpi saya. Saya betul-betul tidak sangka jadi kenyataan," katanya.

Noor Nadia yang dimaklumkan mengenai kematian suaminya kira-kira 10 malam semalam berkata, suaminya kurang bercakap sehari sebelum kejadian.

"Memang arwah tidak cakap sampai malam, pagi keesokannya arwah pergi kerja dan pulang makan tengah hari.

"Kemudian arwah panggil anak-anak, sangat pelik kerana arwah cium anak-anak. Kali terakhir saya berjumpa arwah pada 11 pagi semalam," katanya.

MOHD Fatah Hashim. FOTO NSTP
MOHD Fatah Hashim. FOTO NSTP

Mohd Fatah, 34, yang meninggalkan sepasang cahaya mata yang berusia tiga tahun dan satu tahun itu akan dikebumikan di Beserah, Kuantan, hari ini.

Menurut isteri Allahyarham, suaminya berkhidmat dalam Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) sejak tujuh tahun lalu.

Mohd Fatah adalah seorang daripada anggota PPDA BBP Pelabuhan Klang yang terkorban.

Tiga yang lain adalah Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32 tahun; Mazlan Omarbaki, 25 tahun dan Yahya Ali, 24 tahun manakala Adnan Othman, 33, serta Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, bertugas di BBP Shah Alam.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 11:15 AM