BUAH  asam kelubi.
BUAH asam kelubi.
Manorza Saraev


MUKAH: Kehadiran ular belalang hitam antara cabaran dan risiko perlu dihadapi pencari asam kelubi atau lebih dikenali sebagai asam payak sehingga menyebabkan harganya agak mahal di pasaran.

Bekas pemungut buah asam itu Rabuyah Sulek, 57, berkata harga pasarannya boleh mencecah sehingga RM8 sekilogram jika bukan musimnya.

“Ada ketika pembeli tidak memahami kesukaran dihadapi bagi mendapatkan buah hitam popular ini, malah ada yang kehilangan nyawa untuk mencarinya,” katanya.

Isnin lalu, Sarawak digemparkan tragedi tiga pencari asam kelubi yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Bedanga di sini, sebelum dua daripadanya ditemui mati dengan kesan patukan dan gigitan si belalang hitam.

Berdasarkan keterangan seorang mangsa yang terselamat, mereka ‘diserang’ lebih dari dua ekor ular berbisa itu ketika berehat di bawah sebatang pokok asam kelubi di lokasi kejadian.

Rabuyah berkata, sebaiknya mereka perlu mengambil langkah mengelak daripada terserempak ular berbisa itu.

Katanya, perlu ada ‘ilmu hutan’ terutama kemahiran mengenali lokasi persembunyian ular berkenaan bagi mengelak menjadi mangsanya ketika mencari hasil hutan kegemaran ramai itu.

“Biasanya, spesies ular bersarang di kawasan pokok asam kelubi berkenaan. Maka, apabila kita mencari buah hutan, haruslah berwaspada terhadap kewujudan sarangnya di sekitar pokok berkenaan.

“Ia barangkali beranggapan kita cuba mengganggu sarangnya dan ini boleh mengundang sifat agresif reptilia itu sedangkan kita cuma mahu mengambil buah berkenaan untuk mencari rezeki,” katanya.

Rabuyah berkata, dia bersama suami sebelum ini pernah dikejar ular berkenaan ketika mencari asam kelubi namun berjaya menyelamatkan diri.

“Memang menjadi ‘pantang’ kalau terserempak ular jenis itu kalau kita mencari asam kelubi atau terjumpa sarangnya. Lebih baik kita keluar segera dari kawasan itu kerana ia pasti berada di lokasi sekitar dengan kebiasaannya ia berkumpulan.

“Perlu diingatkan, buah hutan ini bukan saja kegemaran kita, malah turut menjadi sumber makanan si belalang hitam terutama yang sedang masak ranum. Jika asam kelubi ini masak, baunya sangat manis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 6:10 AM