ANGGOTA APM Bintulu menangkap ular tedung yang masuk ke rumah penduduk di Taman Jasmine, hari ini. FOTO Erika George.
ANGGOTA APM Bintulu menangkap ular tedung yang masuk ke rumah penduduk di Taman Jasmine, hari ini. FOTO Erika George.
Erika George


SATU keluarga yang sedang berehat di ruang tamu kediaman mereka di Taman Jasmine, Bintulu, dikejutkan dengan kehadiran ular tedung hitam sepanjang hampir satu meter, 12 tengah hari ini.

Pegawai Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bintulu, Ra’idah Jomi berkata, terkejut dengan kehadiran haiwan berbisa yang bersembunyi di bawah sofa itu, keluarga terbabit segera menghubungi APM bagi mendapatkan khidmat khas menangkap haiwan berbisa itu.

Beliau berkata, ketika anggotanya tiba, keluarga terbabit mendakwa ular berkenaan menyelinap masuk ke dalam almari pakaian anaknya dan anggota APM menyelongkar almari pakaian bagi mengesan ular berkenaan.

“Kami mengambil masa hampir setengah jam untuk menangkap ular dengan menggunakan alat penyepit khas sebelum dimasukkan ke dalam kantung.

“Ular itu dipercayai masuk ke dalam rumah untuk mencari makanan atau mencari kawasan sejuk kerana faktor cuaca terlalu panas.

“Faktor cuaca panas di Malaysia ketika ini antara faktor utama menyebabkan haiwan berbisa seperti ular mula mencari tempat perlindungan lebih sejuk,” katanya.

Beliau berkata, ular tedung itu dibawa ke kawasan hutan berdekatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 10:03 PM