GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Khalid Latip

[email protected]

“SYUKUR, akhirnya abang berjaya mencari jalan keluar selepas dia

melaungkan azan,” kata Derwis Napis, 45, adik kepada Mohammad Tapa Napis, 55, yang ditemui selamat hari ini selepas hilang ketika memotong kayu di Muara Lebaan di Bintangor, semalam.

Derwis berkata, abangnya itu dipercayai sesat ketika meredah kawasan hutan berkenaan sejak jam 8 pagi semalam sebelum berjaya mencari jalan keluar dan muncul di Bukit Papit, 6.30 pagi hari ini.

“Dia memasuki kawasan hutan itu seawal 8 pagi semalam dan kebiasaannya pulang ke rumah menjelang 12 tengah hari. Bagaimanapun, sehingga lewat petang semalam dia tidak pulang ke rumah.

“Bimbang dengan keselamatannya, lebih-lebih lagi selepas mendengar tragedi menimpa pencari asam kelubi di Mukah, kami membuat laporan di Balai Polis Meradong,” katanya.

Derwis berkata, abangnya itu sering mencari kayu di kawasan itu, malah sudah biasa dengan selok-belok hutan berkenaan.

“Dia memang sudah biasa dengan persekitaran hutan itu. Bagaimanapun, ketika kejadian, dia dikatakan tiba-tiba hilang arah selepas membuang air kecil.

“Menurut abang, dia cuba mencari jalan pulang tetapi gagal. Sepanjang 24 jam dia tidak putus asa dan terus meredah hutan sehingga berjaya mencari jalan keluar sejurus dia melaungkan azan,” katanya.

Ketika ditemui, Derwis berkata, abangnya dalam keadaan lemah tetapi riak wajahnya kelihatan sangat gembira kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung dan anggota bomba yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bintangor, Nicholas Belulin, berkata pihaknya melancarkan operasi SAR sejurus menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa pada 7.38 malam.

Katanya, pengalaman luas mangsa dalam ilmu hutan banyak membantu mangsa bertahan, termasuk mendapatkan bekalan air dari akar pokok kelait.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 2:40 PM