ANTARA ular yang ditangkap penduduk kampung  berkeliaran di Kampung Bukit Kuang, Tanggol, Kuala Berang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ANTARA ular yang ditangkap penduduk kampung berkeliaran di Kampung Bukit Kuang, Tanggol, Kuala Berang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Berang: “Saya masih trauma, kelibat lapan ekor ular yang ditangkap berkeliaran di kawasan rumah masih terbayang di mata,” kata Zainah Embong, 44, dari Kampung Bukit Kuang, Tanggol ketika ditemui, semalam.

Zainah berkata, dia pelik kerana kawasan rumahnya kini dipenuhi pelbagai jenis ular berbisa.

“Minggu lalu lapan ular termasuk tedung selar, sawa tikus dan senduk ditangkap penduduk kampung di kawasan rumah secara serentak.

“Pelik kerana ular berbisa menyelinap masuk ke kawasan rumah serentak dan ia tidak pernah berlaku.

“Saya bernasib baik kerana menyedari kehadiran salah seekor ular itu yang cuba memasuki rumah sebelum meminta bantuan penduduk kampung menangkapnya,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan penduduk di kawasan rumah, bukan hanya seekor ular senduk tetapi turut menemui tujuh lagi ular berlainan jenis di kawasan berhampiran.

“Terbaru, saya dan jiran terserempak lagi ular berwarna hitam dipercayai ular senduk melalui kawasan hadapan rumah namun gagal ditangkap.

“Saya buntu memikirkan masalah ular yang berkeliaran di kawasan rumah malah ternakan seperti ayam dan lembu penduduk juga terancam,” katanya.

Menurutnya, dua bulan lalu seekor anak lembu yang diternaknya hilang sebelum ditemui dibaham seekor ular sawa.

“Bukan sahaja saya tetapi penduduk termasuk jiran juga bimbang memikirkan masalah berkenaan.

“Penduduk setempat masih mencari punca masalah itu sama ada ia adalah perbuatan khianat atau sebagainya.

“Sebagai penduduk saya merayu semua pihak memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah itu kerana ia boleh mengancam keselamatan,” katanya.

Sementara itu, jirannya, Zaleha Risa, 44, berkata, dia bimbang ular berbisa yang sering dilihat di kawasan rumah menyelinap masuk ke dalam rumah.

“Penduduk di kawasan itu berasa tidak aman sejak kebelakangan ini dan masing-masing berwaspada kerana bimbang ular memasuki rumah.

“Memang tidak dinafikan rumah kami berdekatan kawasan semak dan berpaya namun tidak masuk akal apabila pelbagai jenis ular berkeliaran serentak di halaman rumah,” katanya.

Menurutnya, dia akan cuba menggunakan pelbagai inisiatif untuk menangani masalah ular di kawasan rumah termasuk penggunaan garam dan limau purut.

“Saya tidak pasti keberkesanan petua tradisional menghalau ular itu namun itu saja pilihan yang ada sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 5:53 AM