Mayat mangsa yang terjatuh ke dalam sungai sebelum lemas di Sungai Linggi Rantau. FOTO Ihsan Bomba
Mayat mangsa yang terjatuh ke dalam sungai sebelum lemas di Sungai Linggi Rantau. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


KEGEMBIRAAN seorang remaja lelaki mengikut bapanya memancing di Sungai Linggi, dekat Kuala Sawah, Rantau di Seremban, bertukar tragedi apabila dia ditemui mati lemas, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku apabila Mohd Afiq Aizat Mohd Noor, 15, yang sedang memancing bersama bapanya dikatakan tergelincir ke dalam sungai sebelum hilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.31 petang dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 ke lokasi.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut mendapat bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang serta pasukan unit skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang.

“Mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat berhampiran lokasi mangsa dikatakan terjatuh pada jam 5.15 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata, mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 10:23 PM