ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat nelayan yang dipercayai hilang di laut. FOTO Mohd Khidir Zakaria
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat nelayan yang dipercayai hilang di laut. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang nelayan hilang di laut dipercayai ketika memeriksa jaring di Lukut Kecil, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa, Yap Fok Swe, 64, hilang manakala botnya ditemui berhampiran Jeti Mamud, Kuala Lukut oleh nelayan.

Nelayan, Azroy Johari, 34, berkata, dia terjumpa bot hanyut pada jam 11.30 pagi.

"Selepas memeriksa bot itu, ada beberapa ekor ketam dan ikan tetapi tiada orang.

"Tidak berapa lama kemudian, adik saya, Najib Johari bersama pasukan memancing menunda bot itu ke Jeti Mamud dan kami melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa untuk tindakan mencari dan menyelamat," katanya ketika ditemui di sini tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Port Dickson, Mohd Hairul Nizam berkata, pihaknya bergegas ke Jeti Mamud selepas menerima maklumat.

"Maklumat awal, seorang nelayan menjumpai sebuah bot tanpa ada sesiapa.

"Kami segera menjalankan operasi mencari mangsa yang dipercayai lemas," kata ketika dihubungi.

Katanya, seramai 14 anggota menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan dibantu beberapa nelayan di permukaan air.

"Pencarian diteruskan daripada arah muara Sungai Lukut bersama bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang.

"Seramai 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) membuat pencarian di lokasi mangsa memasang jaring," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 9:27 PM