Anggota Maritim Malaysia berjaya membawa pulang mangsa bot karam di Perairan Pulau Nusa, Kunak. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Anggota Maritim Malaysia berjaya membawa pulang mangsa bot karam di Perairan Pulau Nusa, Kunak. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Junaidi Ladjana

-

SUAMI isteri berusia 53 dan 50 tahun terpaksa menyelamatkan diri dengan berenang sejauh kira-kira 400 meter selepas bot pancing dinaiki pasangan itu karam di perairan Pulau Nusa, Kunak, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Sarif Samsudin Sarif Sagaf dan isterinya Rostina Abdullah dikatakan keluar memancing di kawasan pulau berkenaan sebelum bot mereka karam akibat dipukul ombak.

Bagaimanapun, mereka sempat berenang ke pesisir pantai di Pulau Malundangan yang terletak kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Lahad Datu, sebaik menerima panggilan kecemasan.

Difahamkan, mangsa sempat menghubungi anaknya sebelum melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Malaysia Lahad Datu.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Lahad Datu, Leftenan Komander Maritim Radzil Allexender Raphael berkata, sebaik menerima maklumat dari Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu pada jam 11.57 malam Sabtu lalu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan mengunakan Bot Adal 17 ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun operasi SAR di lokasi kejadian mengalami kesukaran kerana keadaan laut bergelora dan hujan lebat.

“Pada jam 6.30 pagi keesokannya, kita menerima maklumat kedua-dua mangsa selamat dan berada di Pulau Malundangan, namun mereka tidak dapat keluar kerana laut bergelora,” katanya di Lahad Datu, hari ini.

Beliau berkata, susulan maklumat itu, Bot Adal 17 digerakkan ke Pulau Malundangan dan menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat, jam 8.05 pagi.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Jeti Pangkalan Kunak seterusnya dihantar ke Hospital Kunak untuk rawatan.

“Sehubungan itu, orang awam diingatkan supaya mematuhi langkah-langkah keselamatan ketika berada di laut bagi mengelak kejadian buruk berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:15 PM