LOKASI kejadian dua anggota APMM cedera ditembak tiga suspek. FOTO Ihsan APMM
LOKASI kejadian dua anggota APMM cedera ditembak tiga suspek. FOTO Ihsan APMM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) cedera dalam insiden berbalas tembakan di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut, Kampung Pangi Kunak, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, kedua-dua mangsa Zainal Abad Komel, 45, yang juga Ketua Bot Banggi 48 cedera di mata manakala Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dr Suzanna Razali Chan berkata, berdasarkan laporan awal, insiden berlaku apabila pasukan bot ronda APMM cuba menahan sebuah bot enjin sangkut untuk pemeriksaan Op Khas Pagar Laut.

Katanya, sebaik dihampiri, tiga suspek yang berada di atas bot berkenaan tiba-tiba melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48.

"Kumpulan suspek terbabit dipercayai bertindak melepaskan tembakan bagi mengelakkan daripada anggota bot peronda APMM.

"Pasukan operasi turut melepaskan tembakan balas namun kumpulan terbabit berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Suzanna berkata, susulan daripada insiden berkenaan, pihak APMM sudah mengaturgerakkan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara dan Bahagian Perisikan Maritim ke

lokasi kejadian.

"Semua pasukan berkenaan akan menjalankan siasatan bagi mengesan semua suspek terbabit.

"Manakala kedua-dua anggota APMM yang cedera sudah dihantar ke Hospital Kunak bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

tamat

From: junaidi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 1:56 PM