ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat pemancing yang ditemui lemas selepas empat hari dilaporkan hilang di perairan Pulau Timbun Mata di Kunak, semalam. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat pemancing yang ditemui lemas selepas empat hari dilaporkan hilang di perairan Pulau Timbun Mata di Kunak, semalam. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Norasikin Daineh


MAYAT lelaki yang hilang di laut sejak empat hari lalu, ditemui terapung berhampiran lokasi bot dinaikinya di perairan Pulau Timbun Mata, Kunak, semalam.

Mayat Abdullah @ Arkin Unung, 18, ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 4 petang selepas bot yang dinaikinya bersama dua lagi rakan ketika memancing, terbalik pada Ahad lalu.

Pegawai Seksyen Operasi Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Madya Wan Syarafuddin Jafni Wan Badarudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari yang sama.

"Menurut laporan, mangsa bersama dua rakannya keluar ke laut pada 7 pagi dengan menaiki bot persendirian untuk memancing.

"Bagaimanapun, pada 1.30 tengah hari, bot mereka terbalik akibat ombak besar dan angin kencang, manakala mangsa pula dipercayai tidak pandai berenang," katanya dalam kenyataan media.

Menurut Wan Syarafuddin, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dan pencarian dilakukan sepanjang empat hari sebelum menemui mayat mangsa di kawasan berhampiran bot yang terbalik.

"Aset termasuk bot digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi SAR selain dibantu oleh agensi lain serta bot nelayan tempatan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa Pangkalan Hadapan Operasi (FOB) di Lahad Datu untuk pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 11:14 AM